Friday, April 17, 2009

DIARI S.U.Z.I. VI - 02 AUGUST 2008 - 7.30 p.m. to 11.00 p.m. - ALTRUISME II

Lain nada suara Ja ketika itu. Kalau dia nak marah, memang patut pun sebab kalaulah tersilap melangkah ke tempat yang tak sepatutnya, tak tahulah apa yang bakal terjadi seterusnya. Dengan pantas menuju ke kiri seperti yang diarahkan oleh Ja. Memang lampu suluh Ja menyuluh ke arah kiri, tetapi macamana pula bahagian hadapan dan kanan kami kelihatan begitu terang benderang???

Macam berlakon siri drama Keliwon pulak rasanya. Fikiran di kala itu sudah mula mamai-mamai ayam. Ja menyuruh segera lari ke kiri ke arah kawasan berbukit sementara dia masih berada di kawasan curam di sebelah kanan. Komat-kamit mulutnya entah apa yang dibaca sambil tanggannya mengeluarkan bungkusan kecil berisi serbuk, mungkin garam. Digigitnya bungkusan itu lalu ditaburkan di sekitar kawasan tersebut. Itu yang nampaknya sedang berlaku dalam fikiran yang bertambah mamai. Larat atau tidak, daki aja bukit di kiri sana, tanpa menoleh, terus berlari sederas mungkin. Ya, dalam tempang-tempang dengan sakit yang amat sangat di tepi lutut kanan, berlari sedaya boleh. Macam-macam bermain di fikiran. Namun, tidak secebis pun ada rasa takut mahupun seram. Cemas cuma kalau tidak berdaya untuk sampai ke destinasi.

Lama juga kami berlari anak meredah hutan. Dingin malam sudah tidak terasa. Hujan terus mencurah membasahi seluruh badan. Macam dalam filem Hindustan, berlari-lari dalam hujan. Sesekali terpelecuk, terduduk, tertonggeng-monggeng. Di lereng-lereng curam, terpaksa turun guna ponggong hingga ada kalanya tersagat juga batu, akar atau kayu yang menonjol pada permukaan tanah. Macam-macam bunyi yang kedengaran, dari belakang, tepi mahupun depan. Bersahut-sahutan. Rancak seolah sedang bergurindam berbalas seloka.

Semak-semak yang bergoyang memotong khayalan. Terkejut juga. Mungkin ada haiwan kecil sedang menyusup kerana mereka pun terkejut dengan kehadiran kami. Ja masih berada rapat di belakang, berwaspada. Sesekali suara Ja keras meminta beregrak dengan lebih pantas. Gerakan pantas membuatkan seluruh badan cepat letih, dan terus lemah. Jejak pun makin lenglai. Entah boleh sampai ke destinasi atau tidak.

Ja tiba-tiba meluru ke depan bersama lampu suluh di tangan. Jauh juga dia ke depan meninggalkan diri ini keseorangan dalam gelap. Risau mula menerpa. Langkah makin lemah. Namun tetap dicepatkan langkah. Bunyi itu mula hampir dari belakang. Turun naik nafasnya, kasar tapi lembut.... Kurang jelas bagai berbisik... Merdu beralun. Berlagu membuai perasaan. Terasa ingin duduk dan lena di situ.

Lamunan terhenti bila Ja menerpa datang. Nada suaranya kedengaran lega dan sikit gembira. Ada bunyi isyarat dari kawan guide lain. Maksudnya ada guide yang datang mencari kami. Ja galak membuat bunyi isyarat balas. Bunyi isyarat dari guide lain makin lama makin jelas. Kami terus menuju ke arah bunyi isyarat tersebut. Di sebuah kawasan yang agak lapang juga, Ja berhenti. Katanya elok kami tunggu di situ sehingga kawan-kawan guide lain datang. Badan jadi semakin lemah. Telalu letih. Cepat-cepat membongkok apabila fikiran mula rasa melayang. Dahaga dan lapar. Tapi makanan dan air semua dalam beg yang dibawa Fuad.