Friday, August 29, 2008

DIARI S.U.Z.I. II - 02 AUGUST 2008 - 7.00 a.m. to 10.00 a.m.

Tepat jam 7.00 pagi kami memulakan pendakian. Penuh thrill gitu... Kami dibahagikan kepada 3 kumpulan. Tuan Haji Abu Hassan, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak mengikuti Kumpulan Pertama mendahului pendakian, diikuti Kumpulan Ke-2 dan Kumpulan Ke-3.




Terdapat 2 laluan yang boleh digunakan untuk ke puncak gunung Stong : menyusuri air terjun atau mengikut jalan hutan. Kami telah memilih laluan ke-2 kerana menyusuri air terjun agak berbahaya.







Di awal pendakian, kami melalui sekitar kawasan Stong Hill Resort. Masing-masing masih bertenaga dan langkah masing-masing pun begitu besar dan pantas. Sempat senyum-senyum lagi.










Sementara muka masih segar dan tak perlu "touch-up", apa lagi berposing sakan. Lagipun kawasan di sekitar itu memang cantik. Rugi kalau tak bergambar dengannya.
















Melepasi kawasan Stong Hill Resort arah ke kaki gunung, kami melintasi sebuah jambatan gantung. Kalau ikutkan hati memang nak melepak kat situ, bergurindam sambil berendam. Memandangkan kami perlu mengejar masa, memerlukan 2 jam untuk ke Baha Camp, maka tidak banyak masa yang kami luangkan di situ. Perjalanan ini masih panjang..







Jeram-jeram yang bertali-arus di situ menambat hati kami, begitu menenangkan. Memang rasa beruntung kerana dapat menjejakkan kaki di situ. Inilah waktunya nak gunakan kamera yang baru dibeli khusus untuk ekspedisi kali ini.


















Adui.... Pendakian semakin curam. Walaupun nafas tak sesak atau semput, otot kaki dah mula terasa cekangnya. Beg yang digalas makin terasa bebanannya. Menyesal juga tidak dengar nasihat supaya tidak bawa banyak barang-barang. Apa nak buat, sudah separuh jalan. Lagipun, nanti di Baha Camp boleh tinggalkan semua barang-barang.... Tapi Baha Camp jauh lagi... Untuk si Mior dan Fuad kita ni, masih boleh sengih-sengih lagi... Kalau tak segan-silu kat member2 dari JAS dan syarikat lain, harus mereka bergayut-gayutan ala Tarzan.




Lain pula halnya dengan akak dan abang-abang kita ini. Kami bertembung dengan akak berbaju belang ini di dalam perjalanan ke Baha Camp. Kesian juga kerana beliau sudah patah semangat untuk meneruskan perjalanan. Beliau meminta agar Jani (guide hensem berbaju oren muka iras Norman Hakim itu) membawa beliau turun semula ke Stong Hill Resort.






BJ minta kami temankan akak baju belang. Sambil duduk-duduk, kami berbual dengan beliau memberikan semangat. Setidak-tidaknya beliau perlu tiba ke Baha Camp kerana beliau akan bersendirian di resort sehingga lusa sekiranya beliau tidak menyertai kami ke Baha Camp. Alang-alang dah sekerat jalan, elok teruskan hingga ke camp. Untuk menyenangkan hati beliau, kami ajak bergambar kenangan. Nanti boleh tunjuk kat anak-anak. Tengok mama sudah sampai Baha Camp.






Kami pun dari syarikat yang berbeza. Sebelum ini memang tidak pernah berjumpa. Inilah peluang bagi kami berkenal dengan lebih rapat antara satu sama lain. Rupa-rupanya beliau tinggal di Selama. Menyertai kami atas ajakan kawan-kawan. Sekarang kami pun kawan-kawan juga. Melihat keadaan beliau yang mungkin banyak kehilangan air, Aery menawarkan air 100 plus yang dibawanya. Tak apa kita share. Sesekali kami buat stretch-out bagi otot tak kejang.




Bila mendaki, antara part yang paling seronok ialah menikmati keindahan alam semulajadi. Kami mengambil kesempatan itu untuk memerhati sekeliling.



Tak apa Kak, kita jalan slow-slow. Abang-abang veteran ni pun bukan boleh jalan laju pun.... Meh kami dedicate kan lagu ini untuk akak:




Jangan pernah takut ku tinggalkan,

di saat bintang tak mampu lagi berdendang,

saat malam menjadi terlalu dingin,

hingga pagi tak seindah biasanya....

Takkan mungkin kita bertahan,

hidup dalam bersendirian,

panas terik hujan badai,

kita lalui bersama...




Dan akhirnya kami tiba juga ke Baha Camp pada lebih kurang jam 10.15 pagi. Apabila terpandang Baha Camp, teringat pula kepada cerita-cerita "Pendekar" kat TV. Lebihkurang macam itulah rupa bentuk pondok-pondok di kem tersebut. Di sana-sini terdapat kawasan lapang yang telah didirikan khemah (igloo) oleh peserta. Udara di situ begitu nyaman. Pemandangan memang cantik. Ada air terjun dengan air yang tersangat jernih.



Kami tiba lewat benar... Dah bukan kumpulan ke-3 lagi. Dah jadi kumpulan ke-4 rasanya. Tak mengapalah asalkan kami semua selamat sampai. Letihnya bukan kepalang. Kumpulan pertama dan ke-2 sudahpun meninggalkan kem, meneruskan pendakian ke puncak. Hanya tinggal kumpulan ke-3. Semasa kami tiba, mereka telah siap mendirikan khemah.

Sambil menunggu kami, ada yang sempat belajar tai-chi dengan akak-akak sifu (kawan kepada akak baju belang tadi). Patut ler depa boleh mandaki laju macam peluru... Guna tai-chi rupa-rupanya.




Tak cukup masa macam mana pun, gambar kena ambik juga. Siapa kata kat DOE Perak tak ada muka-muka model cun-melecun. Meh tengok sini.... Makan hati ler artis-artis Malaysia kalau nampak. Ini baru sikit...



Model S.U.Z.I. usah cakap ler. Memang dah kira taraf pro.



Memandang ke bawah sana daripada pinggir air terjun di Baha Camp, barulah kita sedar betapa tingginya tempat kita berdiri berbanding Stong Hill Resort dari mana kita bertolak. Namun, untuk sampai ke puncak Gunung Stong, perjalanan kami hari itu masih jauh lagi....

Belumpun sempat berehat, kami terpaksa bergegas untuk pendakian seterusnya. Tanpa berlengah, bagpack ditinggalkan. Bawa cuma sebotol air mineral (sebetulnya air masak, he he..) dan pek makan tengahari. Lega rasanya bila tak perlu menggendong beban yang berat. Bolehlah berlenggang-kangkong ke atas sana.
Abang-abang tadi tidak turut serta ke puncak. Mereka mahu meluangkan masa meninjau sekitar Baha Camp. Jangan tak tahu, akak baju belang tadi yang awalnya mahu berpatah balik ke Stong Hill Resort, kali ini telah mendahului para peserta lain. Mungkin dia dah dapat balik "energy" sebab dah buat tai-chi..
Alamak! Tetiba otot peha rasa kejang. Jani menasihatkan agar jangan teruskan mendaki ke puncak. Bagaimanapun, beliau tidak menghalang sekiranya ingin teruskan juga. Bukan niat di hati untuk mencabar alam, tapi memandangkan diri ini sudah pun berada di situ, kalau tidak sampai ke puncak tentulah rugi rasanya...
Dalam terhincut-hincut, perlahan-lahan mengejar kawan-kawan lain.


DIARI S.U.Z.I. I - 02 AUGUST 2008 - 6.00 a.m. to 7.00 a.m.

Jam 5.00 pagi itu, apabila tersedar dari tidur telinga ini dapat mendengar ramai antara kami yang sudahpun bangun. Ada yang mandi, berborak, bersiap-siap, pergi "o'-ok", bersenam dll. Malas juga rasanya nak bangun... Memanglah teruja nak pergi mendaki tapi masih belum puas tidur.

Sekali-sekala terdengar suara BJ memberikan arahan. Cepat-cepat pergi mandi. Beg pun masih bersepah sejak malam tadi. Suasana pagi begitu nyaman dan indah. Tak sempat nak capai kamera yang masih terperosok di bawah katil. Entah siapa kat sekitar dah tak peduli lagi. Kena cepat-cepat bersiap.

Jam 6.00 kami cepat-cepat bersiap dan bersarapan bermula jam 6.30 pagi, bersama-sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, di dewan Stong Hill Resort. Seronok weh... sebab bukan selalu dapat berjumpa dengan beliau. Sempat juga bersalaman, bertanya khabar dan berbual.


Kami bersarapan nasi goreng dengan telur mata kerbau. Sedap. Tambahan pula dikenakan dengan kopi o. Sambil bersarapan, kami berbual dan masing-masing nampaknya begitu ceria dan teruja. Namun, dalam fikiran tertanya-tanya juga mampukah kami sampai ke puncak Gunung Stong yang ketinggiannya kira-kira 4,700 kaki dari paras laut.




Kami dibekalkan dengan makan tengahari yang dipek dalam polisterin, bersama sebotol 500 mL air mineral. Setelah pek semua keperluan, kami berehat sebentar sebelum mendengar taklimat.


Masa itulah kami mengambil kesempatan bergambar. Mana boleh melepaskan peluang mengabadikan gambar kita berlatarbelakangkan panorama kaki Gunung Stong yang indah itu. Ramai jurugambar kami pagi itu. Tak lupa juga untuk bergambar dengan "banner". Hmm... nanti orang tak percaya pula kita mengikuti expedisi Jabatan Alam Sekitar Perak menawan Gunung Stong.


Taklimat ringkas tetapi berguna disampaikan oleh Ja (salah seorang daripada guide dari Baha Camp). Beliau amat minitikberatkan perilaku dan semangat gerak kerja berkumpulan. Selain itu kami diingatkan supaya menjaga kebersihan alam sekitar. Puntung rokok pun jangan dibuang sebaliknya mesti disimpan dalam poket. Jangan suka-suka buang air kecil atau "o-ok" ke dalam sungai. Pantang besar weh...


Sebelum memulakan pendakian, kami diminta melakukan senaman bagi mengelakkan kejang otot. Apa tidaknya, pendakian kami dari situ ke Baha Camp akan mengambil masa kira-kira 2 jam. Itupun kalau kami berjalan mengikut kepantasan normal. Kalau sangkut-sangkut, tentu akan mengambil lebih banyak masa.

Tuesday, August 12, 2008

PERJALANAN YANG MENGUJAKAN

JOM IKUT S.U.Z.I.
MENAWAN PUNCAK GUNUNG STONG DI KELANTAN
DALAM
XPDC MENDAKI GUNUNG STONG
BERSAMA
JABATAN ALAM SEKITAR PERAK


Ini merupakan sebuah XPDC anjuran Jabatan Alam Sekitar Perak di mana 3 orang kru S.U.Z.I. telah dijemput untuk bersama-sama dengan para peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan berkenaan dan kakitangan industri lain di negeri Perak.


Setelah sekian lama menunggu, akhirnya tiba juga hari yang dinantikan iaitu pada tanggal 1 - 3 Ogos 2008. XPDC yang diketuai oleh En. BJ ini selain mendekatkan para pesertanya kepada alam semulajadi, ia juga mengeratkan pertalian antara Jabatan Alam Sekitar Perak dengan pihak industri. Ia memupuk semangat bekerjasama dalam kumpulan, meningkatkan jati diri, motivasi dan semangat juang. Tentulah... Memang best bila berpeluang untuk turut serta....
Tepat jam 2.30 petang hari Jumaat 01 Ogos 2008, semua peserta telah siap menunggu di depan Bangunan Sri Kinta Ipoh di mana terletaknya ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar Perak. Sebenarnya ada yang terlewat sampai ke jam 3.00 petang, he he... biasa ler tu.. Kami memulakan perjalanan pada jam 3.30 petang dengan menaiki bas persiaran melalui Grik mengikut Lebuhraya Timur Barat ke Dabong, Kelantan.




Di Grik Perak, kami singgah di sebuah warung yang ala-ala warung koboi untuk minum petang, sembahyang atau buang air.

Sedap nasi lemak di situ.












Berhampiran jalan yang mengarah kepada kawasan Hutan Belum, kami menyeberangi sebuah sungai (atau tasek?). Entahlah, tak pasti pula sebab masa itu tengah mamai dalam bas.






Lama juga perjalanan kami. Pejam celik, pejam celik, sedar-sedar hari sudah mula gelap. Di dalam bas layan aja apa saja VCD yang ada. Daripada video filem Bujang Lapok, hingga kepada filem seram Beranak Dalam Kubur (rasanya), terus kepada video klip dangdut siam versi loghat kelate.... Akhirnya.... berkaraoke dengan lagu rock kapak. Memang sedap suara kita orang... Ada lah standard bebudak Akademi Fantasia.




Dalam ngantuk-ngantuk tu sempat ler juga ambil satu dua keping gambar. Bukan apa, dah puas makan, minum, tonton video, buat bising dll, kalau ditambah dengan flash kamera ke muka, tak lah rasa hendak tidur memanjang.





Di dalam perjalanan, kami singgah makan malam di sebuah warung daerah Jeli. Sempatlah juga membuang air sambil membeli air dan membeli keperluan lain termasuk kad prabayar handphone (ini yang penting). Jam sudahpun pukul 10 malam rasanya. Suasa sekitar agak sunyi. Kalau bising pun disebabkan mulut-mulut kami yang tidak pernah letih pot-pet pot-pet. Seronok dan teruja kot.

Sibuk bersembang, lupa nak ambil gambar.







Kami tiba di Dabong hampir jam 11.00 malam. Mengantuk dan letih juga. Lenguh sebenarnya duduk lama dalam bas. Macam biasa, di semua perhentian, pasang rokok dulu. Halau nyamuk.... Mana ada cemar alam sekitar...


Kami rasa makin teruja. Kalau ikut maklumat pada papan tanda di situ, kami berada di kawasan bertentangan dengan SMK Dabong. Bas hanya terhad sampai di situ sahaja. Kami ke Stong Hill Resort dengan menaiki van. Jadi, dalam kelenguhan itu, terpaksalah menggalas beg masuk ke dalam van yang sudah siap menunggu.







Laju betul van yang kami naiki dipandu oleh abang pemandu, meluncur menyusuri jalan kampung yang sempit. Sempat juga merakam video clip untuk laluan yang kami lalui.

Seronok weh. Macam adegan dalam program "Seekers".










Kami tiba di Stong Hill Resort hampir tengahmalam. Masing-masing nampak sudah agak letih. Tanpa berlengah kami membawa beg ke chalet berbentuk dorm yang dikhaskan untuk kami.





Chalet yang disediakan cuma mempunyai kemudahan asas seperti katil dan kipas angin. Bilik air adalah berasingan. Bagaimanapun, apa yang penting ialah keselesaan. Ruang dalamannya agak luas dan bersih. Begitu juga cadar, selimut dan bantal yang disediakan - sangat bersih.



Suasana malam di resort itu sangat indah. Dalam kesibukan peserta lain bersiap-siap untuk tidur, ada yang sempat mandi, pergi "o-ok", bersembang, berebut cas handphone, makan durian, termenung di tangga, kru S.U.Z.I. sempat merayau dekat-dekat situ untuk merakam kan suasana malam.
Kabus nipis kelihatan maca
m kapas terapung di udara. Di dalam gambar ini, kabus-kabus ini terakam sebagai imej berwarna putih
berbentuk heksagon (segi-enam).




Oleh sebab kami memerlukan rehat yang cukup untuk mendaki pada keesokan harinya, maka tidak banyak
pemandangan di resort ini yang dapat
dirakamkan pada malam itu.
Selepas jam 1.00 pagi 02 Ogos 2008, semua kami sudah nyenyak tidur rasanya...
Tak, ada yang terpaksa bangun sekejap-sekejap untuk cas bateri kamera dan kamkoder.





BERSAMBUNG...

Thursday, August 7, 2008

TANPA KALIAN

Aku memang tak bisa bertahan dan tegar
Tanpa kalian di sisi...
Inilah foto yang di ambil dari tebing sebuah aliran air terjun di mana terletaknya Baha Camp, Gunung Stong, Kelantan.
Puasnya hati S.U.Z.I. apabila telah berjaya menjejakkan kaki di situ dan merakamkan sendiri detik indah ketika matahari terbit.
Malah banyak lagi kenangan-kenangan indah yang dialami dalam mengharungi xpdc bersama Jabatan Alam Sekitar Perak.
Ingin tahu apa yang berlaku? Ingin saksikan keindahan Gunung Stong?
Teruskan bersama S.U.Z.I.