Tuesday, September 2, 2008

DIARI S.U.Z.I. IV - 02 AUGUST 2008 - 3.50 p.m. to 4.30 p.m.

Setelah berhempas-pulas, akhirnya kami tiba juga ke puncak Gunung Stong....

Letih weh....

Tengoklah wajah-wajah waja wira dan wirawati kita...

Masih ingat lagi kat Akak Baju Belang...? Hmm... Jangan tak tahu, dia antara peserta yang tiba paling awal di kemuncak sana. Tahniah berganda daripada kami semua.





Tidak dapat digambarkan betapa puasnya hati kami apabila berjaya tiba di kemuncak. Tentulah lepas rehat ala-ala kadar, masing-masing tidak lepaskan peluang untuk berposing. Eh, bukan tiap-tiap hari kita dapat sampai ke situ. Jadi, memang lumrah ler kalau nak abadikan kenangan kami kat situ. Boleh masuk blog, tak gitu?


Tak sangka pula kehadiran kami di situ disambut oleh seekor tupai yang comel, gebu dan montok. Gelagatnya yang riang dan jinak menambat hati kami. Tupai ini tidak takut mengambil makanan yang kami hulurkan. Lama juga ia bersama-sama kami. Sayang sekali tak dapat nak pegang dan ambil gambar sambil peluk tupai. Hish... peluk tupai ler, mana boleh peluk orang. Ada yang kena humban jatuh gunung kang!!!




Kami sebenarnya berada di atas sebuah batu besar di kemuncak gunung Stong. Itulah aras tertinggi kemuncak gunung tersebut. Kat papan tanda berwana biru muda di belakang sana tu tertera kenyataan berkenaan puncak tertinggi ini bersama ketinggiannya dari paras laut. Alamak, lupa pula nak catit... He he...






Peserta terakhir kami tiba di situ 5 minit sebelum jam 4.00 petang. Tahniah kepada semua!!!! Sesampai di situ, memang mengelepet letih. Bukan setakat kaki sakit. Habis satu badan sakit. Otot rasa macam dicubit-cubit. Asal sampai je kat situ, terus "landing". Relaks kan otot... Ambil nafas, ambil tenaga.... Baru teringan air dah habis... Hmm... belasah aja mana koret-koret air yang ada... Nak perah baju kutip air perahan buat minum, kang ada yang mabuk gunung pulak...

Lepas dah lega sikit dari letih, baru ler masing-masing loyar buruk. Potpet-potpet... Seronok memang seronok. Ianya satu kepuasan kerana telah berjaya sampai ke situ. Orang kata, usaha tangga kejayaan. So, nak berjaya ke situ pun, kena terus berusaha... Macam Akak Baju Belang kita tadi.... Kira O.K. juga dia sampai awal, steady atas 2 kaki. Ada mamat sorang tu, siap merangkak..... Syyyy.... Sendiri tahu udah...


Udara di atas sana memang bersih, segar dan nyaman. Kalau nak dikata sepoi-sepoi bahasa pun boleh... Memang sempoi-sempoi ler... Kalau selalu pergi naik ke situ, tentu boleh dapat potongan badan idaman. Bukan itu sahaja, kulit mulus idaman pun boleh dapat... Hawa di situ sangat nyaman dan cahaya mataharinya langsung tidak terasa terik.



Kami mengambil setiap kesempatan yang ada untuk mengabadikan foto kami sebaik mungkin, dalam berbagai sudut.

Menjelang 4.30 petang kami terpaksa bersiap-siap untuk turun ke Baha Camp. Kami perlu cepat turun sebelum malam. Sekurang-kurangnya kami mesti tiba di Sg Rantai sebelum gelap kerana berjalan malam di kawasan ini amat berisiko.

Tidak puas rasanya berada di situ. Kalau boleh ingin meluangkan masa lebih lama lagi. Sambil menungu peserta lain turun daripada batu besar itu, kami sempat lagi berposing...





OK, semua ready???? Let's go!
Berjalan turun bagi sesetengah orang adalah lebih mudah. Namun untuk sesetengah orang pula ianya sangat sukar.... Oleh itu, ada yang dapat berjalan turun dengan laju. Ada pula yang hanya dapat bergerak dengan perlahan.


Bagaimana jika orang yang terakhir turun dari batu besar itu adalah seorang yang sukar untuk berjalan turun???? Apa lagi jika beliau mengalami kesakitan pada kakinya?
Kejadian selepas itu memang tidak diduga atau dijangka sama sekali.
Mujur Ja dan kumpulan Rescue dari Baha Camp cepat bertindak...
Apa yang berlaku???

DIARI S.U.Z.I. III - 02 AUGUST 2008 - 10.30 a.m. to 4.00 p.m.

Pendakian ke puncak Gunung Stong daripada Baha Camp mengambil masa kira-kira 4 jam jika kita berjalan dengan kelajuan normal, tidak termasuk masa berehat di sepanjang perjalanan. Kami memulakan pendakian pada kira-kira jam 10.30 pagi. Banyak panorama yang indah dan menarik yang diperhatikan. Bagaimanapun, tidak banyak masa yang dapat diluangkan untuk merakamkan gambar-gambar kerana kami perlu bergerak dengan pantas. Kami mesti tiba ke puncak sebelum pukul 4.00 petang.


Di Sungai Rantai, kami berhenti sebentar untuk berehat sambil mengisi botol air dengan air sungai. Air sungai ini begitu jernih dan rasanya tidaklah payau. Sedap daripada air mineral atau air masak. Memang susah nak dijelaskan rasa air sungai di sini. Mulanya, enggan juga minum air sungai tetapi bila sudah terdesak, minum ajalah.







Kami mengambil kesempatan untuk bergambar dan membuat klip video. Belasah aja kamera siapa, main tangkap aja. Dalam waktu yang singkat itu, bukannya ada banyak masa untuk kita duduk bersimpuh cantik-cantik macam dalam studio. Candid aja ler mana yang sempat. Kadang-kadang gambar candid lebih menarik..








Waktu-waktu beginilah seronok untuk berkenal-kenalan sesama peserta. Bukan sahaja antara industri dengan pihak Jabatan Alam Sekitar tetapi juga antara kakitangan Jabatan tersebut sendiri. Bukan apa, semasa melakukan kerja harian, biasanya jarang kita dapat betul-betul meluangkan masa bersama-sama.






Pendakian diteruskan... Bukan semua kawasan yang dilalui itu curam-curam belaka. Ada juga beberapa kawasan yang agak datar. Bila sampai di kawasan ini langkah masing-masing pun memang laju.


Menurut Jani, kawasan di situ bukanlah hutan dara. Dah jadi hutan sekunder. Apa tidaknya, kawasan tersebut dahulunya merupakan kawasan pembalakan. Tak tahu ler pulak pembalakan haram atau halal. Tak berani tanya takut kena sekeh. Mujur tidak kesemua kawasan tersebut yang rosak. Rata-rata flora dan fauna semulajadinya masih dikekalkan, kecuali di kawasan sekitar track atau laluan yang nampaknya telah gondol.


Kami ditunjukkan dengan sejenis spesis pokok palas yang dikatakan hanya terdapat di Gunung Stong sahaja. Selain itu, di kawasan yang penuh dengan pokok pisang, kami ditunjukkan dengan najis dan tapak kaki gajah. Ini menunjukkan kawasan di situ merupakan habitat haiwan ini. Malangnya kami tidak berpeluang melihat haiwan tersebut.



Terasa begitu lama untuk sampai ke puncak. Mujur hawa di kawasan pergunungan tidak panas atau terik. Kami pun tidak perasan pada waktu bila kami melewati jam 12.00 tengahari. Pada ketinggian tertentu kita akan dapat rasakan perubahan hawa persekitaran. Lebih sejuk dan lebih segar.

Di sebuah kawasan lapang di lereng gunung, kami berhenti lagi untuk berehat. Kaki makin sakit. Sambil relaks-relaks kan otot, kami bergambar lagi. Semasa mendaki memang sukar untuk mengambil gambar. Jadi semasa berhenti berehat kami mengambil peluang untuk bergambar.




Kami tiba di Gua BoGo pada lebihkurang jam 1.00 petang. Kami turun dari lereng ke arah sungai, terus ke Gua BoGo. Oleh sebab terlalu letih dan lapar, pergerakan ke situ amat lambat. Mana yang tak sempat pergi dekat-dekat, guna zoom aja dari jauh.
Setengah dari kami buka bekalan untuk makan tengahari di situ. Jani sempat masak maggi. Kami dibekalkan dengan nasi dengan ayam masak merah dan timun. Kuahnya pedas dan sedap. Ada "kick".









Kami tidak dapat berhenti lama di setiap perhentian. Cukup sekadar melepaskan lelah, melegakan otot, mengambil air minuman di sungai, dan bergambar jika sempat. Gerakan kami makin lama makin perlahan. Ramai di antara peserta yang telah jauh meninggalkan kami. Kami adalah kumpulan yang paling corot.

Satu atau dua jam dari Gua BoGo, kami tiba di satu kawasan di mana kami boleh duduk di bawah celahan gunung yang sendeng. Ramai di antara peserta yang tiba lebih awal, duduk makan tengahari di situ. Pada waktu kami sampai, mereka sudahpun mula hendak bergegas pergi meneruskan pendakian.

Laluan semakin lama jadi semakin curam. Ada juga kawasan di mana kami perlu meniti titian balak. Mendaki dengan berpaut pada akar-akar pokok. Dalam keadaan letih dan lengit, tidak banyak gambar yang sempat di ambil. Walaupun tidak larat, kami mesti tiba ke puncak sebelum jam 4.00 petang.



Akhirnya, kumpulan kami hanya tinggal beberapa orang sahaja - Tuan Fairuz, Nazwan dan isteri... entah siapa lagi... Lupa.
Dan apabila kami tiba di kawasan yang dipanggil "permatang", lidah kami sudah terjelir sampai ke lutut rasanya. Laluan menjadi bertambah sukar dan curam. Setengah jam juga kami meredah laluan permatang ini, hingga ada yang merangkak sahaja dengan berpaut pada akar pokok.

Alangkah seronoknya bila kami diberitahu kami sudah hampir ke puncak Gunung Stong....

Mana mereka yang lain????

"Panjat atas batu tu...." ujar Jani.

Adui... kena panjat lagi... ler pulak....