Tuesday, September 2, 2008

DIARI S.U.Z.I. III - 02 AUGUST 2008 - 10.30 a.m. to 4.00 p.m.

Pendakian ke puncak Gunung Stong daripada Baha Camp mengambil masa kira-kira 4 jam jika kita berjalan dengan kelajuan normal, tidak termasuk masa berehat di sepanjang perjalanan. Kami memulakan pendakian pada kira-kira jam 10.30 pagi. Banyak panorama yang indah dan menarik yang diperhatikan. Bagaimanapun, tidak banyak masa yang dapat diluangkan untuk merakamkan gambar-gambar kerana kami perlu bergerak dengan pantas. Kami mesti tiba ke puncak sebelum pukul 4.00 petang.


Di Sungai Rantai, kami berhenti sebentar untuk berehat sambil mengisi botol air dengan air sungai. Air sungai ini begitu jernih dan rasanya tidaklah payau. Sedap daripada air mineral atau air masak. Memang susah nak dijelaskan rasa air sungai di sini. Mulanya, enggan juga minum air sungai tetapi bila sudah terdesak, minum ajalah.







Kami mengambil kesempatan untuk bergambar dan membuat klip video. Belasah aja kamera siapa, main tangkap aja. Dalam waktu yang singkat itu, bukannya ada banyak masa untuk kita duduk bersimpuh cantik-cantik macam dalam studio. Candid aja ler mana yang sempat. Kadang-kadang gambar candid lebih menarik..








Waktu-waktu beginilah seronok untuk berkenal-kenalan sesama peserta. Bukan sahaja antara industri dengan pihak Jabatan Alam Sekitar tetapi juga antara kakitangan Jabatan tersebut sendiri. Bukan apa, semasa melakukan kerja harian, biasanya jarang kita dapat betul-betul meluangkan masa bersama-sama.






Pendakian diteruskan... Bukan semua kawasan yang dilalui itu curam-curam belaka. Ada juga beberapa kawasan yang agak datar. Bila sampai di kawasan ini langkah masing-masing pun memang laju.


Menurut Jani, kawasan di situ bukanlah hutan dara. Dah jadi hutan sekunder. Apa tidaknya, kawasan tersebut dahulunya merupakan kawasan pembalakan. Tak tahu ler pulak pembalakan haram atau halal. Tak berani tanya takut kena sekeh. Mujur tidak kesemua kawasan tersebut yang rosak. Rata-rata flora dan fauna semulajadinya masih dikekalkan, kecuali di kawasan sekitar track atau laluan yang nampaknya telah gondol.


Kami ditunjukkan dengan sejenis spesis pokok palas yang dikatakan hanya terdapat di Gunung Stong sahaja. Selain itu, di kawasan yang penuh dengan pokok pisang, kami ditunjukkan dengan najis dan tapak kaki gajah. Ini menunjukkan kawasan di situ merupakan habitat haiwan ini. Malangnya kami tidak berpeluang melihat haiwan tersebut.



Terasa begitu lama untuk sampai ke puncak. Mujur hawa di kawasan pergunungan tidak panas atau terik. Kami pun tidak perasan pada waktu bila kami melewati jam 12.00 tengahari. Pada ketinggian tertentu kita akan dapat rasakan perubahan hawa persekitaran. Lebih sejuk dan lebih segar.

Di sebuah kawasan lapang di lereng gunung, kami berhenti lagi untuk berehat. Kaki makin sakit. Sambil relaks-relaks kan otot, kami bergambar lagi. Semasa mendaki memang sukar untuk mengambil gambar. Jadi semasa berhenti berehat kami mengambil peluang untuk bergambar.




Kami tiba di Gua BoGo pada lebihkurang jam 1.00 petang. Kami turun dari lereng ke arah sungai, terus ke Gua BoGo. Oleh sebab terlalu letih dan lapar, pergerakan ke situ amat lambat. Mana yang tak sempat pergi dekat-dekat, guna zoom aja dari jauh.
Setengah dari kami buka bekalan untuk makan tengahari di situ. Jani sempat masak maggi. Kami dibekalkan dengan nasi dengan ayam masak merah dan timun. Kuahnya pedas dan sedap. Ada "kick".









Kami tidak dapat berhenti lama di setiap perhentian. Cukup sekadar melepaskan lelah, melegakan otot, mengambil air minuman di sungai, dan bergambar jika sempat. Gerakan kami makin lama makin perlahan. Ramai di antara peserta yang telah jauh meninggalkan kami. Kami adalah kumpulan yang paling corot.

Satu atau dua jam dari Gua BoGo, kami tiba di satu kawasan di mana kami boleh duduk di bawah celahan gunung yang sendeng. Ramai di antara peserta yang tiba lebih awal, duduk makan tengahari di situ. Pada waktu kami sampai, mereka sudahpun mula hendak bergegas pergi meneruskan pendakian.

Laluan semakin lama jadi semakin curam. Ada juga kawasan di mana kami perlu meniti titian balak. Mendaki dengan berpaut pada akar-akar pokok. Dalam keadaan letih dan lengit, tidak banyak gambar yang sempat di ambil. Walaupun tidak larat, kami mesti tiba ke puncak sebelum jam 4.00 petang.



Akhirnya, kumpulan kami hanya tinggal beberapa orang sahaja - Tuan Fairuz, Nazwan dan isteri... entah siapa lagi... Lupa.
Dan apabila kami tiba di kawasan yang dipanggil "permatang", lidah kami sudah terjelir sampai ke lutut rasanya. Laluan menjadi bertambah sukar dan curam. Setengah jam juga kami meredah laluan permatang ini, hingga ada yang merangkak sahaja dengan berpaut pada akar pokok.

Alangkah seronoknya bila kami diberitahu kami sudah hampir ke puncak Gunung Stong....

Mana mereka yang lain????

"Panjat atas batu tu...." ujar Jani.

Adui... kena panjat lagi... ler pulak....

No comments: