Friday, April 17, 2009

DIARI S.U.Z.I. VI - 02 AUGUST 2008 - 7.30 p.m. to 11.00 p.m. - ALTRUISME II

Lain nada suara Ja ketika itu. Kalau dia nak marah, memang patut pun sebab kalaulah tersilap melangkah ke tempat yang tak sepatutnya, tak tahulah apa yang bakal terjadi seterusnya. Dengan pantas menuju ke kiri seperti yang diarahkan oleh Ja. Memang lampu suluh Ja menyuluh ke arah kiri, tetapi macamana pula bahagian hadapan dan kanan kami kelihatan begitu terang benderang???

Macam berlakon siri drama Keliwon pulak rasanya. Fikiran di kala itu sudah mula mamai-mamai ayam. Ja menyuruh segera lari ke kiri ke arah kawasan berbukit sementara dia masih berada di kawasan curam di sebelah kanan. Komat-kamit mulutnya entah apa yang dibaca sambil tanggannya mengeluarkan bungkusan kecil berisi serbuk, mungkin garam. Digigitnya bungkusan itu lalu ditaburkan di sekitar kawasan tersebut. Itu yang nampaknya sedang berlaku dalam fikiran yang bertambah mamai. Larat atau tidak, daki aja bukit di kiri sana, tanpa menoleh, terus berlari sederas mungkin. Ya, dalam tempang-tempang dengan sakit yang amat sangat di tepi lutut kanan, berlari sedaya boleh. Macam-macam bermain di fikiran. Namun, tidak secebis pun ada rasa takut mahupun seram. Cemas cuma kalau tidak berdaya untuk sampai ke destinasi.

Lama juga kami berlari anak meredah hutan. Dingin malam sudah tidak terasa. Hujan terus mencurah membasahi seluruh badan. Macam dalam filem Hindustan, berlari-lari dalam hujan. Sesekali terpelecuk, terduduk, tertonggeng-monggeng. Di lereng-lereng curam, terpaksa turun guna ponggong hingga ada kalanya tersagat juga batu, akar atau kayu yang menonjol pada permukaan tanah. Macam-macam bunyi yang kedengaran, dari belakang, tepi mahupun depan. Bersahut-sahutan. Rancak seolah sedang bergurindam berbalas seloka.

Semak-semak yang bergoyang memotong khayalan. Terkejut juga. Mungkin ada haiwan kecil sedang menyusup kerana mereka pun terkejut dengan kehadiran kami. Ja masih berada rapat di belakang, berwaspada. Sesekali suara Ja keras meminta beregrak dengan lebih pantas. Gerakan pantas membuatkan seluruh badan cepat letih, dan terus lemah. Jejak pun makin lenglai. Entah boleh sampai ke destinasi atau tidak.

Ja tiba-tiba meluru ke depan bersama lampu suluh di tangan. Jauh juga dia ke depan meninggalkan diri ini keseorangan dalam gelap. Risau mula menerpa. Langkah makin lemah. Namun tetap dicepatkan langkah. Bunyi itu mula hampir dari belakang. Turun naik nafasnya, kasar tapi lembut.... Kurang jelas bagai berbisik... Merdu beralun. Berlagu membuai perasaan. Terasa ingin duduk dan lena di situ.

Lamunan terhenti bila Ja menerpa datang. Nada suaranya kedengaran lega dan sikit gembira. Ada bunyi isyarat dari kawan guide lain. Maksudnya ada guide yang datang mencari kami. Ja galak membuat bunyi isyarat balas. Bunyi isyarat dari guide lain makin lama makin jelas. Kami terus menuju ke arah bunyi isyarat tersebut. Di sebuah kawasan yang agak lapang juga, Ja berhenti. Katanya elok kami tunggu di situ sehingga kawan-kawan guide lain datang. Badan jadi semakin lemah. Telalu letih. Cepat-cepat membongkok apabila fikiran mula rasa melayang. Dahaga dan lapar. Tapi makanan dan air semua dalam beg yang dibawa Fuad.


Wednesday, April 15, 2009

DIARI S.U.Z.I. V - 02 AUGUST 2008 - 4.30 p.m. to 7.30 p.m. - ALTRUISME I


Letih pun belum betul-betul hilang petang itu apabila kami terpaksa bergegas turun daripada puncak Gunung Stong ke Baha Camp. Turun daripada batu besar di kemuncak agak sukar juga. Mujur Fuad masih ada di situ, membantu. Sebaik sahaja turun dari batu besar, sepintas lalu angin berderu melintas menampar muka. Keras juga tapi menyamankan.


Kawan-kawan lain sudah mula bergerak menuruni puncak. Yang masih menunggu di situ adalah Ja, guide yang raut wajahnya serious dan garang seiras muka hero Pirate of Carribean. Tiga langkah menuruni puncak, tetiba bahagian kanan lutut kaki kanan terasa bisa menyucuk. Setiap kali kaki dibengkokkan, rasa sakitnya menyingau-nyingau. Apahal la pulak, waktu nak pakai, waktu tu la spring jamn.


Beritahu Ja, mungkin jalan tak boleh laju kerana kaki kanan tidak boleh dibengkokkan. Dah jadi macam kaki robot. Ja kata tidak mengapa sebab beliau akan membantu. Katanya, jalan pelan-pelan pun tidak apa. Sambil berjalan, kami leka berbual. Di sana-sini Ja sentiasa membantu apabila tiba di tempat-tempat yang sukar dilalui. Setiap kali diucapkan terima kasih, dia akan marah. Katanya tak perlu ucapkan terima kasih sebab memang sudah tugas beliau memberikan bantuan. Bagus juga, rasa dilayan macam Datin la juga, walaupun hanya kru Datin aja.


Ja sempat bercerita tentang sejarah tempat itu terutama tentang Baha Camp yang dibuka oleh Arwah En Baharudin (kalau tak silap). Arwah banyak berbakti kepada penduduk di sekitar itu terutama kepada para penagih dadah di mana Baha Camp asalnya dibuka untuk merawat penagih dadah. Banyak usaha telah dilakukan oleh Arwah dalam menaik-taraf Baha Camp sehingga beliau dianggap tidak siuman oleh sesetengah penduduk setempat kerana sering menyendiri di situ. Beliau meninggal dunia di Baha Camp beberapa tahun lalu dan menurut Ja, orang kampung mengambil masa 2 jam untuk membawa turun mayat beliau ke kaki gunung untuk dikebumikan di kampungnya.


Sebenarnya Ja tidak segarang raut wajahnya. Kelakar dan romantis di sana-sini. Jadi, ralit la juga berbual. Entah kenapa, petang itu perasaan rasa amat tenteram dan relaks. Rasa macam nak luangkan lebih banyak masa di situ. Mungkin kerana suasana dan keindahan sekitar. Sedar-sedar kami telah jauh ditinggalkan oleh kawan-kawan lain. Ja tiba-tiba jadi risau. Dia terus meluru jauh ke depan menuruni bukit-bukit. Terkial-kial dibuatnya. Dengan pantas langkah dicepatkan dalam terhinjut-hinjut, cuba mengejar Ja dari belakang. Asal tebengkok aja kaki kanan, sakitnya bukan kepalang. Paksa juga terus bergerak dengan lebih pantas.


"Kita dah jauh tertinggal," kata Ja dalam nafas turun-naik, kerana isyarat bunyi yang diberikan tidak dijawab oleh kawan-kawan guide yang lain di hadapan sana. Ja meminta supaya percepatkan jalan, kalau boleh berlari. Dalam tanah tinggi-rendah, beralur-alur, berlorong serta berparit, berapa pantas yang dapat dipercepatkan.


Tertonggeng-tonggeng juga cuba mengejar Ja yang jauh di hadapan. Lorong yang berbengkang-bengkok itu sesekali menyebabkan tersalah laluan. Pergi ke kanan sedangkan Ja berada di sebelah kiri. Ja pula tidak beri peluang untuk berhenti kerana sebaik sahaja tiba di tempat di mana dia berhenti menunggu, dia terus meluru ke depan. Mencungap mengejar.


Pelik juga kerana semasa mengejar Ja, di hadapan sana di antara celah-celah ranting-ranting pohon yang menjurai-jurai berdiri sesusuk tubuh. Kelihatannya seperti seorang lelaki cina berbaju kuning dan berseluar pendek merah. Dalam hati menyangka ada pendaki lain yang masih berada di sekitar itu. Hati ini tidak berasa cemas. Lega sedikit. Cuma apabila mengalih pandangan untuk mencari Ja, dan apabila memandang semula ke susuk tubuh berbaju kuning dan berseluar merah tadi, ianya sudah tiada di situ.


Kejadian yang serupa berlaku di kawasan lain petang itu di mana kelihatan susuk tubuh manusia berbaju hujan labuh berwarna hitam lengkap dengan penutup kepala, sedang berdiri menunggu di celah-celah semak. Sekelip mata susuk tubuh itu hilang dari pandangan.


Hujan turun agak lebat. Oleh sebab fikiran hanya bertumpu untuk sampai ke destinasi maka apa yang ada di sekitar dah tak dipeduli lagi. Dah tak tahu berada di mana pada ketika itu. Sebelum tiba di kawasan di mana terdapat batu besar yang menyendeng (di mana di bawahnya kami berhenti berteduh) kelihatan seperti Ja sedang mengeluarkan baju hujan berwarna magenta cerah dan memakainya. Laung kepadanya bertanya sama ada boleh ditunpangkan kamera kerana khuatir air hujan akan membasahi kamera. Tiada jawapan. Bengang juga seketika. Mungkin dia tidak dengar laungan. Laung sekali lagi.


Alamak, bukan Ja. Ja berada jauh di sana di bawah batu sendeng sedang berteduh sambil menghisap rokok. Ja memakai baju hitam, seluar pendek hitam dan tight hitam. Dia tidak memakai baju hujan magenta cerah. Apabila menoleh kepada orang yang memakai baju hujan magenta cerah tadi, ia sudah tiada di situ. Cepat-cepat langkah disusun bergerak pantas ke arah Ja. Pelik juga tetapi pada waktu itu tiada perasaan takut kerana tidak terfikir yang bukan-bukan.


Ja memberitahu kami perlu berjalan dengan lebih pantas kerana hari sudah mula gelap. Hujan pun turun makin lebat. Katanya, di kawasan itu berjalan malam banyak risikonya. Tambahan pula, jika hujan lebat berterusan kami mungkin tidak dapat menyeberangi sungai rantai yang deras airnya. Mungkin terpaksa tunggu hingga ke pagi.


Bercakap tentang risiko berjalan malam, di fikiran ini hanya terfikirkan binatang buas seperti harimau, beruang ataupun gajah dan juga binatang berbisa seperti ular. Tidak pula terfikir tentang makhluk-makhluk yang tidak boleh dilihat. Tapi itu sebenarnya yang Ja maksudkan.


Ja menyuruh keluarkan lampu suluh, malangnya lampu suluh yang dibawa tidak menyala sebab dibasahi hujan. Hanya menggunakan satu lampu suluh milik Ja, agak sukar juga untuk kami berjalan pantas. Di kawasan yang di kiri-kanannya semak lalang dan pohon renek, Jai berbisik memberitahu tanda-tanda tertentu sudah kedengaran. Hampir dengan kami. Dia mula cemas dan meminta supaya kami terus berjalan dengan lebih pantas. Kami perlu melepasi Sungai Rantai yang jaraknya lebih dari 2 jam. Sesekali Jai bercakap dengan suara yang keras. Di kiri kanan kami terdengar bunyi-bunyi yang pelik seolah-oleh ia mengekor.


Apabila hari makin gelap Ja berjalan rapat di belakang. Mungkin dia dapat merasakan bahaya di sekitar kami. Dia betul-betul mengambil berat dan melindungi. Entah kenapa langsung tiada rasa takut atau cemas di hati ini. Padahal Ja sudah mula cemas. Di satu kawasan yang curam, kelihatan cahaya yang terang-benderang di hadapan. Kawasan itu nampak cantik semacam ada pesta. Langkah dicepatkan menuju ke situ.


"Yang pergi masuk rumah orang tu buat apa??!!!" terdengar suara Jai berteriak, marah bunyinya. Tersentak seketika, langkah segera dihentikan. Keliru juga.

- bersambung -

Tuesday, September 2, 2008

DIARI S.U.Z.I. IV - 02 AUGUST 2008 - 3.50 p.m. to 4.30 p.m.

Setelah berhempas-pulas, akhirnya kami tiba juga ke puncak Gunung Stong....

Letih weh....

Tengoklah wajah-wajah waja wira dan wirawati kita...

Masih ingat lagi kat Akak Baju Belang...? Hmm... Jangan tak tahu, dia antara peserta yang tiba paling awal di kemuncak sana. Tahniah berganda daripada kami semua.





Tidak dapat digambarkan betapa puasnya hati kami apabila berjaya tiba di kemuncak. Tentulah lepas rehat ala-ala kadar, masing-masing tidak lepaskan peluang untuk berposing. Eh, bukan tiap-tiap hari kita dapat sampai ke situ. Jadi, memang lumrah ler kalau nak abadikan kenangan kami kat situ. Boleh masuk blog, tak gitu?


Tak sangka pula kehadiran kami di situ disambut oleh seekor tupai yang comel, gebu dan montok. Gelagatnya yang riang dan jinak menambat hati kami. Tupai ini tidak takut mengambil makanan yang kami hulurkan. Lama juga ia bersama-sama kami. Sayang sekali tak dapat nak pegang dan ambil gambar sambil peluk tupai. Hish... peluk tupai ler, mana boleh peluk orang. Ada yang kena humban jatuh gunung kang!!!




Kami sebenarnya berada di atas sebuah batu besar di kemuncak gunung Stong. Itulah aras tertinggi kemuncak gunung tersebut. Kat papan tanda berwana biru muda di belakang sana tu tertera kenyataan berkenaan puncak tertinggi ini bersama ketinggiannya dari paras laut. Alamak, lupa pula nak catit... He he...






Peserta terakhir kami tiba di situ 5 minit sebelum jam 4.00 petang. Tahniah kepada semua!!!! Sesampai di situ, memang mengelepet letih. Bukan setakat kaki sakit. Habis satu badan sakit. Otot rasa macam dicubit-cubit. Asal sampai je kat situ, terus "landing". Relaks kan otot... Ambil nafas, ambil tenaga.... Baru teringan air dah habis... Hmm... belasah aja mana koret-koret air yang ada... Nak perah baju kutip air perahan buat minum, kang ada yang mabuk gunung pulak...

Lepas dah lega sikit dari letih, baru ler masing-masing loyar buruk. Potpet-potpet... Seronok memang seronok. Ianya satu kepuasan kerana telah berjaya sampai ke situ. Orang kata, usaha tangga kejayaan. So, nak berjaya ke situ pun, kena terus berusaha... Macam Akak Baju Belang kita tadi.... Kira O.K. juga dia sampai awal, steady atas 2 kaki. Ada mamat sorang tu, siap merangkak..... Syyyy.... Sendiri tahu udah...


Udara di atas sana memang bersih, segar dan nyaman. Kalau nak dikata sepoi-sepoi bahasa pun boleh... Memang sempoi-sempoi ler... Kalau selalu pergi naik ke situ, tentu boleh dapat potongan badan idaman. Bukan itu sahaja, kulit mulus idaman pun boleh dapat... Hawa di situ sangat nyaman dan cahaya mataharinya langsung tidak terasa terik.



Kami mengambil setiap kesempatan yang ada untuk mengabadikan foto kami sebaik mungkin, dalam berbagai sudut.

Menjelang 4.30 petang kami terpaksa bersiap-siap untuk turun ke Baha Camp. Kami perlu cepat turun sebelum malam. Sekurang-kurangnya kami mesti tiba di Sg Rantai sebelum gelap kerana berjalan malam di kawasan ini amat berisiko.

Tidak puas rasanya berada di situ. Kalau boleh ingin meluangkan masa lebih lama lagi. Sambil menungu peserta lain turun daripada batu besar itu, kami sempat lagi berposing...





OK, semua ready???? Let's go!
Berjalan turun bagi sesetengah orang adalah lebih mudah. Namun untuk sesetengah orang pula ianya sangat sukar.... Oleh itu, ada yang dapat berjalan turun dengan laju. Ada pula yang hanya dapat bergerak dengan perlahan.


Bagaimana jika orang yang terakhir turun dari batu besar itu adalah seorang yang sukar untuk berjalan turun???? Apa lagi jika beliau mengalami kesakitan pada kakinya?
Kejadian selepas itu memang tidak diduga atau dijangka sama sekali.
Mujur Ja dan kumpulan Rescue dari Baha Camp cepat bertindak...
Apa yang berlaku???

DIARI S.U.Z.I. III - 02 AUGUST 2008 - 10.30 a.m. to 4.00 p.m.

Pendakian ke puncak Gunung Stong daripada Baha Camp mengambil masa kira-kira 4 jam jika kita berjalan dengan kelajuan normal, tidak termasuk masa berehat di sepanjang perjalanan. Kami memulakan pendakian pada kira-kira jam 10.30 pagi. Banyak panorama yang indah dan menarik yang diperhatikan. Bagaimanapun, tidak banyak masa yang dapat diluangkan untuk merakamkan gambar-gambar kerana kami perlu bergerak dengan pantas. Kami mesti tiba ke puncak sebelum pukul 4.00 petang.


Di Sungai Rantai, kami berhenti sebentar untuk berehat sambil mengisi botol air dengan air sungai. Air sungai ini begitu jernih dan rasanya tidaklah payau. Sedap daripada air mineral atau air masak. Memang susah nak dijelaskan rasa air sungai di sini. Mulanya, enggan juga minum air sungai tetapi bila sudah terdesak, minum ajalah.







Kami mengambil kesempatan untuk bergambar dan membuat klip video. Belasah aja kamera siapa, main tangkap aja. Dalam waktu yang singkat itu, bukannya ada banyak masa untuk kita duduk bersimpuh cantik-cantik macam dalam studio. Candid aja ler mana yang sempat. Kadang-kadang gambar candid lebih menarik..








Waktu-waktu beginilah seronok untuk berkenal-kenalan sesama peserta. Bukan sahaja antara industri dengan pihak Jabatan Alam Sekitar tetapi juga antara kakitangan Jabatan tersebut sendiri. Bukan apa, semasa melakukan kerja harian, biasanya jarang kita dapat betul-betul meluangkan masa bersama-sama.






Pendakian diteruskan... Bukan semua kawasan yang dilalui itu curam-curam belaka. Ada juga beberapa kawasan yang agak datar. Bila sampai di kawasan ini langkah masing-masing pun memang laju.


Menurut Jani, kawasan di situ bukanlah hutan dara. Dah jadi hutan sekunder. Apa tidaknya, kawasan tersebut dahulunya merupakan kawasan pembalakan. Tak tahu ler pulak pembalakan haram atau halal. Tak berani tanya takut kena sekeh. Mujur tidak kesemua kawasan tersebut yang rosak. Rata-rata flora dan fauna semulajadinya masih dikekalkan, kecuali di kawasan sekitar track atau laluan yang nampaknya telah gondol.


Kami ditunjukkan dengan sejenis spesis pokok palas yang dikatakan hanya terdapat di Gunung Stong sahaja. Selain itu, di kawasan yang penuh dengan pokok pisang, kami ditunjukkan dengan najis dan tapak kaki gajah. Ini menunjukkan kawasan di situ merupakan habitat haiwan ini. Malangnya kami tidak berpeluang melihat haiwan tersebut.



Terasa begitu lama untuk sampai ke puncak. Mujur hawa di kawasan pergunungan tidak panas atau terik. Kami pun tidak perasan pada waktu bila kami melewati jam 12.00 tengahari. Pada ketinggian tertentu kita akan dapat rasakan perubahan hawa persekitaran. Lebih sejuk dan lebih segar.

Di sebuah kawasan lapang di lereng gunung, kami berhenti lagi untuk berehat. Kaki makin sakit. Sambil relaks-relaks kan otot, kami bergambar lagi. Semasa mendaki memang sukar untuk mengambil gambar. Jadi semasa berhenti berehat kami mengambil peluang untuk bergambar.




Kami tiba di Gua BoGo pada lebihkurang jam 1.00 petang. Kami turun dari lereng ke arah sungai, terus ke Gua BoGo. Oleh sebab terlalu letih dan lapar, pergerakan ke situ amat lambat. Mana yang tak sempat pergi dekat-dekat, guna zoom aja dari jauh.
Setengah dari kami buka bekalan untuk makan tengahari di situ. Jani sempat masak maggi. Kami dibekalkan dengan nasi dengan ayam masak merah dan timun. Kuahnya pedas dan sedap. Ada "kick".









Kami tidak dapat berhenti lama di setiap perhentian. Cukup sekadar melepaskan lelah, melegakan otot, mengambil air minuman di sungai, dan bergambar jika sempat. Gerakan kami makin lama makin perlahan. Ramai di antara peserta yang telah jauh meninggalkan kami. Kami adalah kumpulan yang paling corot.

Satu atau dua jam dari Gua BoGo, kami tiba di satu kawasan di mana kami boleh duduk di bawah celahan gunung yang sendeng. Ramai di antara peserta yang tiba lebih awal, duduk makan tengahari di situ. Pada waktu kami sampai, mereka sudahpun mula hendak bergegas pergi meneruskan pendakian.

Laluan semakin lama jadi semakin curam. Ada juga kawasan di mana kami perlu meniti titian balak. Mendaki dengan berpaut pada akar-akar pokok. Dalam keadaan letih dan lengit, tidak banyak gambar yang sempat di ambil. Walaupun tidak larat, kami mesti tiba ke puncak sebelum jam 4.00 petang.



Akhirnya, kumpulan kami hanya tinggal beberapa orang sahaja - Tuan Fairuz, Nazwan dan isteri... entah siapa lagi... Lupa.
Dan apabila kami tiba di kawasan yang dipanggil "permatang", lidah kami sudah terjelir sampai ke lutut rasanya. Laluan menjadi bertambah sukar dan curam. Setengah jam juga kami meredah laluan permatang ini, hingga ada yang merangkak sahaja dengan berpaut pada akar pokok.

Alangkah seronoknya bila kami diberitahu kami sudah hampir ke puncak Gunung Stong....

Mana mereka yang lain????

"Panjat atas batu tu...." ujar Jani.

Adui... kena panjat lagi... ler pulak....